PENDAHULUAN 


Pementoran merupakan istilah yang tidak asing lagi di Malaysia sejak awal tahun 1990-an. Topik pementoran sering dibincangkan dan dikupas dalam pelbagai latar belakang bidang pekerjaan yang mana pekerja cemerlang sering memetik nama individu tertentu (mentor) yang dijadikan sebagai sumber inspirasi dan pembakar semangat motivasi untuk kekal cemerlang. 


Pementoran menjelaskan proses pengaliran ilmu dan kemahiran yang mana menti menerima nasihat dan  bimbingan daripada  penasihat (mentor) yang lebih berpengetahuan dan berpengalaman. Bagi seorang mentor, pengamalan aktiviti berbentuk pementoran merupakan peluang keemasannya untuk mengasah dan mempertingkatkan lagi kompetensi peribadi dan profesional. Bagi menti pula, pengalaman menerima nasihat dan bimbingan yang khusus daripada seorang mentor adalah peluang untuk meneroka dan meningkatkan lagi potensi diri. 



FALSAFAH DI SEBALIK PEMENTORAN


Pementoran merupakan hubungan dua hala yang mana mentor berperanan untuk memupuk dan meneroka potensi menti melalui perkongsian berkaitan dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki dan pengalamannya dalam bidang tertentu sementara menti menyerap dan mempelajari hasil perkongsian tersebut dan akhirnya menghasilkan sesuatu dalam realiti pekerjaannya.

 

Proses pementoran sangat berkait  rapat  dengan  proses  pembelajaran antara mentor dengan menti. Melalui pementoran, hubungan sinergi dapat dipupuk dan dikukuhkan lagi melalui aktiviti yang berlangsung dalam setiap pertemuan, perbualan dan proses pembelajaran yang fokus kepada kemahiran pencapaian matlamat, kemahiran membuat keputusan dan kemahiran dalam menyelesaikan masalah.